KAJANG: Sebanyak 2,594 kawasan di seluruh negara dikenal pasti berisiko berlakunya banjir pada musim tengkujuh kali ini berdasarkan statistik bencana yang direkodkan pada tahun lepas dan tahun sebelumnya.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata oleh itu, pemantauan secara berkala akan dilakukan sekiranya keadaan cuaca tidak menentu atau hujan berpanjangan melebihi tahap biasa.

"Bagi memastikan APM sentiasa dalam keadaan bersedia, semua aset pengoperasian diselenggara mengikut jadual agar dapat digunakan semasa operasi.

"APM kini mempunyai 753 bot dengan kelengkapan enjin dan 481 kenderaan darat seperti pacuan empat roda, ambulans dan lori seberat lima tan yang sedia digunakan semasa bencana," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa yang sama, katanya sehingga kini sebanyak 10,510 pegawai dan anggota APM di seluruh negara telah diberi latihan untuk memastikan mereka sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Beliau berkata cuti anggota APM juga akan dibekukan, namun kelonggaran diberikan jika terdapat sebarang urusan kecemasan atau perkara yang tidak dapat dielakkan.

Selain itu, katanya sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh kali ini kerajaan juga telah menambah baik fasiliti bagi kegunaan ketika bencana antaranya memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa mencukupi bagi menampung jumlah mangsa banjir di sesuatu lokaliti.

Katanya setakat ini, terdapat sejumlah 6,192 PPS disediakan di seluruh negara yang terdiri daripada sekolah-sekolah dan dewan orang ramai yang boleh menampung lebih 1.6 juta mangsa.

"Tahun lepas, MTL memberi impak yang sangat luar biasa terutama di Johor dan berdasarkan data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kerugian dianggar mencecah lebih RM1.3 bilion merangkumi nilai aset orang awam, premis perniagaan dan aset kerajaan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai supaya sentiasa peka dengan perkembangan dan maklumat cuaca daripada sumber yang sahih serta bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

-- BERNAMA